Kumpulan Seri Asun

Kumpulan Wayang Kulit Seri Asun telah diasaskan oleh En. Din Iem pada tahun 1966 yang merupakan Tok Dalang pertama kumpulan tersebut. Namun begitu, pada awal penubuhannya tiada nama khusus bagi kumpulan tersebut dan hanya dikenali sebagai kumpulan wayang kulit. Kemudian ia diturunkan kepada Din Chon. Generasi ketiga yang mewarisi kumpulan tersebut ialah Mohd Noh bin Haji Muhamad atau lebih mesra dengan panggilan Pak Noh. Ketika Pak Noh menerajui kumpulan wayang kulit tersebut Allahyarham En. Johari Salleh2 pada ketika itu menamakan kumpulan wayang kulit tersebut sebagai kumpulan Wayang Kulit Seri Asun. Nama Seri Asun diambil sempena nama Kampung Kunluang, Kedah yang merupakan tempat asal penubuhan kumpulan Wayang Kulit tersebut.

Kumpulan ini telah banyak mengadakan persembahan di dalam dan luar negara serta lazimnya persembahan kumpulan ini dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Kesenian dan Kebudayaan Negara Negeri Kedah sejak tahun 1980-an (Abdul Majid, 2011). Di antara negara yang telah dikunjungi oleh kumpulan tersebut adalah Paris, Milan, German, Belanda, Itali, Denmark dan Rome pada tahun 1989. Pada tahun 2000 kumpulan ini telah membuat persembahan di Taiwan selama sembilan hari bagi mempromosikan kesenian tradisional Malaysia. Pak Majid bersama ahli kumpulannya juga telah membuat persembahan di Perth, Australia pada tahun 2001. Selain daripada itu, kumpulan Wayang Kulit Seri Asun juga telah menyertai Festival Puppet di Bangkok, Thailand dan Festa Perwayangan di Jakarta, Indonesia pada tahun 2003. Pada tahun yang berikutnya, kumpulan ini telah membuat persembahan di Singapura dan seterusnya pada tahun 2009 di Burma (Abdul Majid, 2011). Kumpulan ini turut berkongsi ilmu mengenai kesenian wayang gedek dan membuat persembahan di institusi pengajian tinggi seperti di Universiti Malaysia Sabah, Universiti Utara Malaysia, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Malaysia Sarawak.

Ahli Kumpulan Wayang Kulit Seri Asun

Pada awal tahun 1985, Pak Majid menyedari bahawa wayang kulit kurang diminati oleh kebanyakan generasi muda. Oleh itu, bermula pada awal tahun 1988, Pak Maijd telah melakukan pembaharuan terhadap pementasannya. Pembaharuan secara berperingkat antaranya menukar bahasa dari bahasa Siam ke bahasa Melayu loghat Kedah. Pada peringkat yang seterusnya, Pak Majid mula mencipta dan memperkenalkan watak-watak baharu dalam pementasan wayang gedek. Antara watak baharu tersebut adalah watak Tok Ayah dan ketua kampung. Plot penceritaan juga turut diolah dengan memaparkan penduduk tempatan dan masyarakat Melayu mula diselitkan oleh Pak Majid dalam pementasan wayang gedek.

Saya dan Pak Majid (Tok Dalang)

Advertisements